08 Februari 2018

FW671506_KL06_070218_WUF-scr.jpg

 

Penyertaan belia adalah penting dalam merangka pelan tindakan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Pengarah dan penolong setiausaha agung United Nation Habitat Dr Aisa Kirabo Kacyira berkata belia hari ini adalah lebih dinamik, kreatif dan inovatif, justeru mereka memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan.

"Mereka berpotensi untuk mempercepatkan pembangunan mampan sebagai ejen perubahan dalam komuniti terdekat dan melalui kemahiran dan perspektif mereka yang unik, belia berada di barisan depan inovasi tetapi kepimpinan mereka masih belum diterokai lapor Bernama.

"Kita, sebagai pemimpin perlu mendengar suara mereka jika kita mahu memastikan kita mencapai pembangunan yang mampan. Jika mereka (belia) diberi ruang untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan dan membuat keputusan, mereka akan mendapat inspirasi," kata beliau selepas berucap pada penutupan sesi pleno perhimpunan belia Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) semalam. 

Pada Oktober tahun lepas, Malaysia telah melancarkan Agenda Perbandaran Baharu bertujuan untuk menerajui negara ke arah urbanisasi dan pembangunan yang mampan.

Dokumen itu yang diperkenalkan pada Oktober 2016 semasa persidangan Habitat 111 Pertubuhan Bangsa Bersatu di Quito, Ecuador telah diterima pakai oleh 170 negara.

Agenda itu juga menyediakan panduan untuk mencapai SDG yang merupakan gesaan universal untuk tindakan bagi membasmi kemiskinan, melindungi planet dan memastikan semua penduduk dunia menikmati keamanan dan kemakmuran.

Malaysia sekali lagi telah menegaskan komitmennya untuk menyokong dan melaksanakan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mapan dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari pada September 2015.

Perhimpunan belia adalah platform untuk merestui peranan belia dalam mewujudkan dan melaksanakan strategi dan penyelesaian untuk pendekatan inovatif dan mampan ke arah pembangunan bandar, khususnya menggalakkan penyertaan aktif belia dalam proses reka bentuk, pelaksanaan dan proses kajian semula Agenda Perbandaran Baharu.